Semalam cikgu pergi menziarahi sebuah kematian. 6 Mei 2009, seorang bekas anak murid cikgu telah ditinggalkan ibu yang dikasihinya buat selama-lamanya. Ketika cikgu sampai ke rumah beliau, jenazah sedang dikafankan. Oleh kerana ruang rumah agak kecil, proses mengkafankan jenazah, dapat dilihat oleh ahli yang menziarah.
Sungguh, Allah memberikan ketenangan kepada jiwa anak yang menyaksikan bagaimana ibu mereka dikafankan di depan mata. Saat begitu memilukan dilalui oleh anak ini begitu mencarik naluri cikgu. Teringat, ketika cikgu melalui detik-detik itu, ketika turut mengkafankan allahyarhamah bonda tercinta pada Disember 1987. Ketika itu cikgu masih bujang.
Kini, cikgu melihat jenazah sambil membayangi diri sendiri yang bakal melalui saat-saat itu. Dimandikan, dikafankan, disolatkan, dikebumikan dan akhirnya ditinggalkan bersendirian menghadapi soalan demi soalan dan hukuman tuhan.
Wahai anak,
tempoh yang bakal dilalui dalam kehidupan ini sedetik cuma. Ambillah peluang yang masih ada untuk melalui detik-detik indah yang dapat dikongsi bersama ibu yang tercinta. Bila kita telah kehilangan, kita akan terkenang saat-saat indah bersama ibu, sewaktu kita dibelai manja, sewaktu luka kita dirawat, sewaktu kisah-kisah suka duka zamn persekolahan kita kongsikan, sewaktu kita meraikan hari raya, sewaktu ibu memakaikan kita pakaian baru, sewaktu ibu memasakkan kita lauk kegemaran kita dan banyak lagi waktu-waktu indah.
Ketika ibu masih ada, kita selalu terkenangkan saat-saat kita dimarah, saat kita diperintah, saat kita dileteri, saat kita diadukan kepada ayah dan pelbagai saat yang pahit untuk dikenang. Tapi itulah saat kita pelajari tentang kehidupan, saat kita mengenal susah payah dan pelajari bagaimana mengatasi kerumitan hidup yang penuh pancaroba. Saat itu telah berlalu, yang tinggal hanya kenangan.
Bagi yang telah ditinggalkan, kenangilah yang manis-manis sahaja. Ia tetap akan menghibur hati. Bagi yang masih punyai ibu, terlebih wajar untuk menghargai saat manis bersamanya berbanding mengenang hanya setelah kematian menjelma.
Anakanda ku Syarifah Zulaika, bersabarlah. Untukmu ada lagi seorang Ibu untuk menumpang kasih, suka dan duka. Hubungi cikgu.....doa cikgu sentiasa menemani kamu.
No comments:
Post a Comment