Monday, December 27, 2010

Belanja naik sekolah

Dekat2 naik sekolah ni, penuh shopping complex dengan emak2 dan anak2 mencari barang untuk sekolah. Pergi ke sekolah pun, ramai orang jugak. Ada sekolah, panjang betul orang berbaris, tunggu giliran beli buku. Cikgu pun tak terkecuali membeli persiapan untuk anak2 naik sekolah.

Alhamdulillah, pakaian dah cikgu urus awal2. Buku tulis ni jelah yang agak leceh sikit. Sebabnya, buku tulis baru dijual minggu ni. Tadi dapatlah cikgu selesaikan untuk anak yang darjah 6. Mak ai! Duit keluar macam air je. Baru darjah 6, buku tulis dan pelbagai mencecah lebih dari RM100. Belum bayaran sekolah lagi. Yang tingkatan 3 pulak, cikgu tengok terlalu panjang barisan orang beratur. Tak larat lah nak join beratur jugak. Pintu kedai pun, bukaknya kecik jer. Aduhai, dah tau nak jual buku tu, bukalah luas2 sikit. Pelanggan lari baru tau!

Cikgu fikir2, cikgu ni seorang guru. Pun...merasa perkara macam ni menyusahkan. Macamana pula yang dirasai oleh orang yang bukan guru ya. Orang datang ramai2 ni, bukan nak minta sedekah, tapi nak beri sekolah tu duit. Sekali lagi, bukan minta duit, tapi nak beri duit. Amacam, ada betul ke tidak?


Cikgu ambil perkara ni sebagai pengajaran. Balik ke sekolah cikgu sendiri, cikgu pastikan, kedai buku dibuka luas, biar pelanggan senang nak berbelanja. Kaunternya yang luas, pelayannya biar ramai. Maklum sesetengah ibu bapa, mengambil kesempatan keluar sekejap dari ofis untuk urus buku anak, sebab cuti tahun dah habis. Cikgu2 semua...semoga menjadi sempadan, nanti bila urus anak sendiri, cikgu akan faham....

Sunday, December 26, 2010

Farhah dah balik

Semalam Farhah balik USM. Habis sudah cutinya sebulan lebih. Macam sekejap pulak cuti tu. Alhamdulillah, pagi tadi dah pun dia sampai ke Penang dengan selamatnya. Senang hati cikgu bila dengar dia selamat tiba di asrama... Apa ke tidaknya, malam semalam sewaktu cikgu menghantar dia ke stesen bas Larkin, hujan bukan mainlah lebatnya. Banyak2 malam nak hujan, malam tadi lah yang lebat sekali. Hati seram sejuk je melepaskan anak dara balik malam2 naik bas dalam hujan. Alhamdulillah, walaupun lama menunggu bas yang tak tiba2 sehingga hampir pukul 11 malam, sampai juga dia dengan selamat.

Hari ni, terasa rumah sunyilah sikit. Dah kurang seorang untuk makan semeja. Anak2 lelaki pun sedang menikmati kasih sayang ayahnya. Dari lepas zuhur pergi memancing. Umpan habis, seekor ikan pun tak dapat. Lepas asar pergi lagi, tapi sekali ni tempat lain pulak....

Tinggal emaknya dengan anak dara yang seorang ni, asyik kerja makan cokelat aje. Tadi pergi Kipmart dah pekena satu cup Cool Blog. Ni dekat2 ni...apa pulak kehendak dia. Isyk!

Macam tulah dengan anak2, bila ada macam2 gaduhnya, bila tak ada terasa hilang pulak...apa2 ajelah. Baik lipat kain yang sebakul ni....Da....

Friday, October 29, 2010

Adakah semua cikgu pandai?

Lebih kurang 2 tahun sebelum alaf 21 bermula, cikgu mendapat keputusan bahawa cikgu telah lulus semua kertas yang cikgu duduki semasa mengambil kursus Sarjana, dan surat itu memberitahu bahawa cikgu layak dianugerahkan Sarjana Pendidikan. Alhamdulillah, syukur kepada ALlah. Segala penat jerih telah terbayar rasanya. Ketika itu cikgu sedang mengandung anak ke 4. Konvokesyen akan diadakan pada hujung tahun tersebut.

Selepas beberapa hari semester baru dimulakan, cikgu mendapat panggilan telefon daripada salah seorang bekas pensyarah yang bertanyakan mengapa cikgu tidak mendaftar untuk satu subjek yang cikgu gagal. Aduh! Terasa seperti terguling jatuh tangga, sehingga tidak mampu bangkit lagi. Gagal? Bagaimana boleh gagal? Bukankah cikgu dah dapat keputusan lulus semua, dgn CGPA melebihi 3.5. Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan ini.


Akhirnya cikgu beranikan hati pergi ke kampus. Dengan perut besar, hati terasa bagai nak pecah. Dalam hidup cikgu, belum pernah cikgu gagal dalam mana2 peperiksaan awam atau peperiksaan universiti. Belum pernah cikgu mengulang mana2 kertas. Bagaimana boleh gagal. Cikgu tunggu Dekan Fakulti Pendidikan. Dikatakan, beliau sedang bermesyuarat.

Masa berlalu begitu perlahan. hati seperti disiat-siat. Air mata bertakung. Gagal? Bagaimana dikira gagal? Gagal dalam peperiksaan belum pernah menjengah cikgu. Belum pernah. Kalau sesekali ujian2 kecil, dapat markah rendah tu biasalah...Tappi gagal dalam final exam> Sungguh seperti tidak masuk akal.

Terlalu lama menunggu, akhirnya cikgu membuat keputusan untuk pulang dahulu. Di dalam perjalanan menuju ke kereta, cikgu terserempak dengan Puan Dekan. Cikgu terus bertanya padanya, serentak dengan itu, air mata bercucuran. Tak mahu berhenti. Dekan cikgu cuma berkata,'Janganlah menangis, it's not good for your baby'. Cikgu tidak peduli, cikgu terus menangis. Entah benar cikgu gagal atau ada kesilapan pada result, sampai sekarang cikgu atau dekan cikgu pun tak pasti. Yang cikgu pasti, hujung tahun tu cikgu konvo jugak. Dapat jugak Sarjana. Satu kertas yang dikatakan cikgu gagal itu akhirnya tak perlu cikgu ulang lagi.

Namun, peristiwa itu dapat memberi cikgu pengalaman merasai bagaimana merasa GAGAL. Rupanya Gagal itu sangat menyedihkan. Seperti tiada jalan keluar lagi. Cikgu kembali kepada diri, untuk apa cikgu belajar? Cikgu cuma hendak menambah ilmu sahaja. Dalam mendapat ilmu, cikgu tidak kira, tak perlu merasa bimbang tentang penilaian orang semata2. Yang penting, sebab2 cikgu belajar adalah kerana Allah. Kalau gagal belajarlah lagi. Gagal dapat memberitahu kita di mana kesilapan kita. GAGAL juga dapat menunjukkan kelemahan kita, supaya kita punya ruang untuk perbaiki diri, terus menerus. Tiada noktah kepada memperbaiki diri sendiri....

Sebab...Allah tidak menjadikan manusia bodoh, tetapi Allah manjadikan manusia dengan kepandaian yang berbeza-beza.

Monday, October 25, 2010

Cikgu dah tua, Bak lagilah dah tua.







Tidak banyak perkara menarik yang berlaku akhir2 ini. Kehidupan semakin sibuk, di sana sini hanya ada peperiksaan. Sungguh, peperiksaan ni membuatkan orang stres saja.

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, Fauzan akan hadapi SPM. Syaffa mula menghadapi peperiksaan akhir tahunnya esok(26 OKT), Syamil pula mulai 1 november, Farhah mungkin sedang menelaah pelajaran(harap2lah). Rasanya semua lecturernya berebut nak beri test dan kuiz untuk koleksi markah carry ke final. Semoga semuanya cemerlang.

Hujung minggu yang lalu, cikgu menziarahi ayah cikgu(Bak). Dapat tahu melalui facebook, Bak tak berapa sihat. Sakit perut buang2 air. Asalnya sakit badan dan urat. Jumpa doktor, doktor pulak tak berapa mesra. Menurut Bak, senyum pun tidak. Macam tulah rasa hati orang tua, sensitif. Habis dengan semua doktor dia merajuk, langsung tak mahu ke klinik lagi, SERIK!

Apa yang cikgu boleh buat, setakat gosok2 minyak tu luluslah, tapi kalau nak mengurut, mintak mahaplah. Tak pandai. Jadi esoknya, cikgu bawaklah seorang tukang urut kepada Bak, alhamdulillah, bila balik, dapatlah meninggalkan orang tua yang dah boleh tersenyum. Best kot kena urut....

Bak cikgu tu dah tua. Kira2 sekarang ni dapat umur bonus. Kira sahajalah, berapa umur oang yang lahir tahun 1925? Tak ke dah 85 tahun tu! Syukur lillah, umur masih ada, sesekali boleh lagi memandu kereta ke kedai sendiri. Ada kala bertukang juga, ada sahaja projek yang nak dibuatnya. Dulu, cikgu larang jugak dia buat itu dan ini. Tapi lama2 baru faham. Kalau orang tua dah tak buat apa2, dia semakin tak sihat. Sebab perasaannya merasa, dirinya dah tak berguna lagi. Biar badan tak berapa gagah, tapi kalau hati senang, badan yang lemah pun terasa ringan dan kuat.

Kira2 pada 23 Oktober yang lalu, umur cikgu mencecah 49 tahun. Umur cikgu dan Bak berbeza sebanyak 36 tahun. Syukur, masih punya seorang bapak. Itulah sumber doa yang berpanjangan. Teringat semasa muda, cikgu selalu berbalah dengan Bak. Maklum, jiwa remaja, ada sahaja yang tak kena. Semua yang bapak cakap, salah sahaja di telinga cikgu.

Sekarang, cikgu pula semakin tua. Cikgu pulak menjadi sumber mendoakan anak2. Memang banyak yang tak kena, banyak tak banyak pun, ada juga berbalah dengan anak. Mudah2an Allah dorong cikgu agar sentiasa memahami anak2. Dan pada masa yang sama dapat mengasuh anak untuk mentaati Allah swt yg telah mengurniakan mereka kepada cikgu. Dalam hati, doa cikgu sentiasa mengiringi mereka. Mudah2an cikgu sempat meniti usia tua bersama mereka, melihat mereka menjadi dewasa dan punyai keluarga sendiri, macam Bak dengan cikgu.

Wednesday, October 20, 2010

Kematian menjengah lagi

Hari ini cikgu dikejutkan dengan satu lagi kematian. Seorang sahabat telah meninggal dunia jam 7.15 pg setelah beberapa tahun disahkan menghidap penyakit kanser. Berusia 54 tahun, pada cikgu...umur ini masih muda untuk sebuah kematian. Namun kematian menemui semua umur, yang muda, tua, kaya mahupun tidak punya harta...semuanya akan mati. Bahkan ia suatu yang sangat pasti.

Sahabat cikgu ini tidak punyai zuriat walau pun seorang. Tetapi hatinya begitu mulia, pekerjaannya juga mulia. Beliau seorang guru. Mungkin sebab kemuliaan profesion guru inilah, maka ALlah mentaqdirkan cikgu menjadi seorang guru.

Maka teringatlah cikgu akan suatu maksud hadis Rasulullah S.A.W. daripada Abu Hurairah:"Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa dari anaknya yang soleh"(Hadis Riwayat Muslim).

Yang dipunyai oleh hampir semua kita adalah harta untuk disedekahkan dan ilmu yang dimenafaatkan. Jika yang ini belum ada, masih boleh dicari selagi ada usia. Tetapi memperolehi seorang anak, belum tentu dapat diperolehi oleh semua orang.

Kalau sedikit harta kita, sedikitlah yang dapat kita sedekahkan. Kalau sedikit ilmu kita, sedikitlah juga yang dapat kita menafaatkan. Sebab itu, perlulah kita mencari harta dan menuntut ilmu, supaya mati kelak, harta dan ilmu ini terus berbakti menyumbangkan amalan yang berterusan untuk kita.

Tanpa mengira usia, marilah kita bersedia untuk sebuah kematian.Marilah kita memperingati kedatangan 5 perkara sebelum 5 perkara yang lain ini :

Kaya sebelum miskin,
Sehat sebelum sakit,
Muda sebelum tua,
Lapang sebelum sempit ,
Hidup sebelum mati.

Semoga Allah mengampunkan segala dosa kita dan segala dosa orang2 yang telah pergi mendahului kita...Amin

Thursday, October 14, 2010

Bosankah Belajar?

SPM akan tiba 39 hari lagi. Hari2 penting mendatang menandakan, masa untuk bersedia sudah tinggal sedikit cuma. Begitu juga peluang menjadi pelajar sekolah menengah hampir habis. Bagi sesetengah pelajar, mereka telah selamat berhenti(dibuang) sekolah walaupun SPM belum pun dilalui.

Masih cikgu ingat satu ketika di masa muda. Masa begini begitu mencemaskan. Buka satu buku rujukan, terpandang pula rakan yang membuka buku lain. Apa tah lagi kalau melihat rakan2 lain membaca juga, tetapi di bahagian yang belum cikgu baca atau ulangkaji. Seram oooo! Rasanya, macam kita seorang sahaja yg belum sedia. Sedangkan orang lain dah mengulang mengkaji buat kali ke berapa entahnya.

Lihat anak2 PMR, terasa cemburu. Mereka sudah pun selesai berjuang. Cikgu2 PMR pun sedang bertenang2. Tapi cikgu SPM macam tak cukup nyawa berperang. Hairannya, banyak orang rileks aje, walau belum ada apa2. Baru cuba selesai jawab 2 soalan, dah seperti orang mencangkul tanah se relong. Tidor seperti orang yang belum pernah tidor sepanjang hayat. Apa nak jadi!

Janganlah begitu anak2.... Harapan cikgu, 39 hari ini digunakan sebaiknya. Selagi ada cikgu yang hendak mengajar, pergilah ke sekolah tanpa gagal. Jumpa cikgu, tanya soalan, leraikan segala kebuntuan. Ajak rakan2 yang baik untuk belajar sama. Bukan senang nak berkumpul ramai2 di satu tempat seperti sekolah. Nantilah....bila tiada peluang bersekolah....baru tahu apa perasaannya. Mudah2an anak2 tidak kan menyesal melepaskan peluang baik ini.

Kuatkan semangat, kuatkan hati! Selamat Berjuang!

Sunday, August 22, 2010

Amalan untuk Mengingat dgn Mudah

Sudah lebih sebulan, seorang sahabat cikgu memberi pinjam 3 buah VCD Ceramah Ustaz Kazim. Cikgu tak luangkan masa untuk mendengarnya...hampir2 lupa sehinggalah dia bertanya. Sibuk cikgu mencari..di mana VCD tu ya? Alhamdulillah..akhirnya bertemu juga. Namun cikgu gagal juga untuk mendengar.

Sehinggalah pada suatu ketika, apabila seorang rakan facebook 'share' suatu 'link' ke ceramah Ustaz Kazim. Sehingga hari ini cikgu tak jemu2 mendengarnya juga. Di sini cikgu sertakan salah satu bahagian ceramah beliau.



Janganlah risau dengan tajuk ceramah ini. Dengarlah sehingga habis. Untuk anak2 dan pelajar2, ada petua2 untuk mengingat sepertimana yang diajarkan oleh alim ulama pewaris nabi. Subhanallah, rupa2nya belajar dengan menulis itu adalah perintah Allah melalui surah al 'Alaq.

Cikgu bersyukur dapat mengenali siri ceramah Ustaz Kazim. Semoga ALlah pelihara ilmunya. Cikgu seru semua kenalan cikgu untuk mendengar ceramahnya juga. Gunakanlah telinga yang Allah beri untuk jalan Allah. Dengarilah perkara2 baik yang akan membawa kita kepada keredhaanNya.

Monday, July 5, 2010

Alkisah bermulalah hidupnya di sana....











Masa terlalu pantas berlalu. Hari ini merupakan hari ke 3 Farhah memulakan hidupnya di USM. Selama dua bulan bercuti setelah tamat matriks, segala teka teki tentang ke mana arahnya dia selepas ini terjawab dengan satu chat di FB, "accept". Maca tu lah cikgu tahu Farhah menerima tawaran ke USM bulan lalu.

Jumaat 2 Julai cikgu, suami, Farhah dan Syaffaa bertolak keluar dari rumah dalam lebih kurang jam 3 petang. Dalam hujan lebat, kami bertolak meninggalkan JB. Tinggallah Fauzan dan Syamil di rumah. Tak muat kereta nak bawak semua. Farhah pun...baaaanyak nya barang yang dibawa!

Perjalanan begitu perlahan disebabkan hujan terlalu lebat. Sampai ke KL lebih kurang jam 7 malam setelah berhenti beberapa kali di hentian sebelah dan R&R. Orang tua bawa kereta, banyak kerenahnya. Malangnya, cikgu tersalah masuk simpang, sungguh lah jauhnya nak menyampaikan ke R&R Jejantas Sg Buloh. Hampir isya... badan letih, mata pun mengantuk. Kami tidor di rumah Mak Ncah di Sg Buloh. Alhamdulillah, baru malam itu cikgu sedar, rupa2nya pendaftaran Farhah bermula jam 2.30 petang 3 Julai.

Dalam jam 4.30 pagi keesokan harinya, kami bertolah ke Penang. Jalan pelan2 dan santai. Berhenti di Tapah selepas beberapa kali berhenti di hentian sebelah. Sarapan pagi dan menunaikan solat Dhuha di R@R Sg Perak. Cantik jugak tempat tu. Dah lama tak pergi utara.



Kami tiba di Penang jam 11 pagi. Ramainya manusia. Oleh kerana masih awal, kami ke Tesco. Ada2 saja yang nak dibeli dek Farhah, serba tak cukup, walaupun kereta dah penuh. Makan tengahari di Tesco dan kemudian ke Masjid USM menunaikan solat jama' di sana.

Seusai solat kami ke Dewan peperiksaan, tempat pendaftaran. Sementara Farhah mendaftar, cikgu dengar taklimat daripada Penggawa Desa Siswa Restu. Alhamdulillah, nama pun Restu, mudah2an kehidupan di sana memang di restui ibu bapa dan diredhai Allah. Itu yg paling penting. Anak2 menjalani kehidupan yang di redhai Allah.

Barang2 diangkut menggunakan lori. Kereta ibu bapa ditinggalkan di kawasan parking di sebelah dewan. Semua ibu bapa dan anak2 menaiki bas yang USM sediakan. Seronok jugaklah suasananya. Macam bergerak di Mina dan Mekah. Sibuknya manusia dengan barang. Takut hilang gamaknya.

Alhamdulillah, Farhah dapat bilik hujung sekali. Berkongsi dgn rakan sekuliah, gadis dari Trengganu. Zakiah namanya. Hati cikgu pun rasa senang, anak cikgu dapat teman yang kelihatannya baik2 sahaja.

Dari bilik Farhah, dapat dilihat pemandangan dari atas bukit. Nampaklah beberapa pangsapuri tinggi2. Kemudahan semuanya cukup. Ada wifi, mesin auto pencetak gambar dari phone, cafetaria, mesin minuman air sunquick dsb. Utk 4 bilik penginapan, ada 2 bilik mandi dan dua tandas. Semuanya utk dikongsi bersama hanya 8 orang siswi. Oh lumayan tu, jauhlah dibandingkan dengan zaman cikgu belajar di U dulu.

Selapas mengemas serba sedikit barang Farhah, cikgu bergegas pulang. Janji dengan Dr Afidah(Timb Dekan Fakulti Kimia) nak jumpa di depan dewan. Alhamdulillah, sempat bersembang beberapa ayat, pesan memesan minta dia tengok2kan anak dara cikgu. Syukur sangat kepada Allah.Mudah2an inilah tempat terbaik untukmu anakku. Lega hati cikgu, semester 1 pengajian Ijazah Sarjana Muda Kimia pun bermula untuknya. Belajarlah bersungguh2, semoga bantuan Allah sentiasa menyertai kehidupanmu anakku.

Wednesday, June 16, 2010

Ikan Kaloi, Bawang Putih dan Bawang Merah



Cikgu agak hampir semua orang Melayu tahu cerita tentang Si Bawang Putih dan Si Bawang Merah. Ibu Bawang Merah ditolak masuk ke dalam kolam oleh madunya, lalu berubah menjadi ikan kaloi. Hari2 Bawang Merah beri ikan kaloi makan. Satu hari ibu Bawang Putih telah menangkap ikan Kaloi tersebut, digorengnya dan diberi Bawang Merah makan. Mmmmm....goreng pun sodap!

Ayah cikgu ada berikan cikgu 2 ekor ikan kaloi. Adalah sebesar piring kuih saiznya. Bela punya bela...jadilah saiznya sebesar pinggan. Beberapa minggu lalu, seekor ikan tu 'meninggal'. Lat seminggu kemudian seekor lagi 'meninggal' juga. Innalillahi....
Keduanya dimasukkan ke dalam peti sejuk. Agak2lah bila hari tak ada lauk, boleh lah digoreng...mmm sodap jugak tu.

Hari ini, memang benar2 berlaku. Dua ekor kaloi dikorbankan. Sampai hati tak? Sampai. Syamil tukang sembelih, Fauzan tukang masak. Ummi, ayah, kakak dan adik sekali jadi tukang makan. Subhanallah, sedap beb! Masak Sweet Sour. Kalah masakan kedai tomyam tu!

Terima kasih Syamil dan Fauzan. Sesungguhnya Ummi bangga dapat dua anak lelaki tukang masak profesional. Gerenti sok, kalau kawin, isteri kamu tak kebuluran...Mmuah! I love you!

Ehem...dalam akuarium ada sekor lagi, tapi ikan 'Majlis'. Yang tu tak sanggup makan eh! Sekor lagi kura-kura, seram kura2 tu kalau dia tahu Kaloi dah kena makan. Agak terpikir tak dia akan nasibnya kalau dia 'meninggal' nanti? Isyk!

Tuesday, June 15, 2010

Pesona Solat Tahajud



Alhamdulillah, syukur lillah, terima kasih kepada Dr Muhammad Salleh kerana menulis sebuah buku yang sangat mempesona, Pesona Solat Tahajud. Allah memimpin saya untuk membeli buku ini. Melihat kulitnya, terasa seperti ia bakal menghidangkan saya, panduan melaksanakan solat tahajud sepertimana buku2 yang lain. Tapi yang ini sama sekali berbeza.

Membaca buku ini, membawa saya mengenang kejadian diri, kenangan yang dilalui, dan apa yang bakal saya lalui apabila bertemu Allah kelak. Sentuhannya yang rangup, membuat saya begitu teringin terus menerus membaca. Ia membuka hati agar saya melaksanakan tahajud dengan rela hati, tanpa rasa terpaksa atau dipaksa.

Subahanallah, Allah sahaja yang akan membalas jasa Dr Muhammad Salleh kerana tulisannya menjadikan saya begiti rindu.....rindu kepada keampunan dan redha tuhan.

Buku tu boleh dicari di sini.

Sunday, June 13, 2010

Yang menyebakkan: 99 Balloons



Pagi Sabtu 12 Jun, cikgu buka tv dan dapat tengok rancangan Oprah. Siap ada penyanyi lagu Titanic tu...siapa tu...laaa, dah bukan zaman cikgu lagi untuk ingat nama penyanyi. Oh ya...oops Celine Deon lah.. Tp tema hari tu sedih...tentang anak2 yang tak bernasib baik.

Dalam rancangannya, Oprah tunjukkan youtube di atas. Berjurai2 air mata 2 orang terkenal tu. Tak kurang...cikgu nangis jugak. Tengoklah kalau tak percaya.

Yg paling menarik, ibu kepada Elliot berkata ketika ditemuramah melalui Skype oleh Oprah..."Iknow I'll be sad later, but now I want to be happy with my child". Lebih kurang gitulah. Kiranya, hargailah peluang bersama yang dikasihi ketika ia masih hidup.

Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru

Hari ini 16 Mei 2010, Hari Guru kali yang ke 24 untuk cikgu. Terasa baru sekejap menjadi guru. Hari2 melayan budak2, hingga tidak terasa diri semakin tua.

Cikgu teringat, guru darjah 1, Cikgu Saerah. Cikgu kelas 1 Hijau di SK Mohd Khir Johari, Johor Bahru. Dialah orang pertama jadi guru cikgu. Badannya tinggi langsing. Dulu2, guru mengenakan baju putih dan berkain batik, siap bersanggul lagi. Kali pertama memilih Ketua Darjah, cikgu dan rakan2 disuruh melukis gambar ikan di papan hitam yang kami bawa, kemudian, warnakan dengan kapur warna. Siapa punya ikan paling cantik, dia lah jadi ketua. Ha3! Gelihati bila teringat. Maka terjadilah kawan cikgu bernama Yusof Bin Ahmad, seorang Ketua Darjah. Simple kan!

Teringat di darjah lima, waktu tu kena hadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Banyak kali kena jawab ujian coba2 tu. Yang ajar sejarah, Cikgu Hafsah. Siapa tak dapat 80 markah, berbilai2 betis kena rotan. Bila balik rumah, saling bertanding, siapa punya betis paling lawa. Maklumlah masa tu pakai skirt, balik lalu atas titi merentas Sungai Subulong.

Sampai menengah, kenangan di sekolah rendah menjadi sangat manis. Tetapi selesai sekolah menengah, cikgu rasa, yang paling terkesan dalam mencorak diri adalah sekolah menengah. Kenangannya lebih gempak. Budak2nya pun lebih brutal. Semasa remaja, semuanya sedang mencari identiti diri. Apa sahaja yang masuk...kena layan......

Alhamdulillah, macamana pun, tetap di mana2 sekolah, yang menjadikannya sekolah adalah guru. Di SK, sekolah papan, bila hujan lebat dan ribut, satu bangunan ranap menyembah tanah. Di Sek Men, sekolahnya kukuh. Namun kedua2nya tiada makna jika tiada guru.

Terima kasih semua cikgu yang telah berbakti menabur budi. Cikgu Khalid Esa, Cikgu Idris, Cikgu Hafsah, CikguSaerah dll yang tak diingat lagi namanya. Semua cikgu sekolah Rendah dan Menengah, semoga Allah menerima segala amal kebajikanmu. Semoga sekiranya ilmu darimu, menurun kepada aku, akan aku sampaikan kebaikan demi kebaikan. Agar guruku tetap menerima imbuhan, walau jasad tidak lagi berada di dunia ini. Amin.


Sunday, April 4, 2010

Memulakan Bisnes Sendiri



Seronok membaca buku tulisan Ainon Mohd, MEMULAKAN BISNES SENDIRI. Teruja cikgu apabila melihat suami cikgu membaca buku ini beberapa hari yang lepas, air mukanya seperti terlalu seronok, disebut2 banyak kali, diulang2 petikan ceritanya, sehingga cikgu pun tak sabar nak membaca buku ini.

Antaranya yang dicerikan oleh Pn Ainon Mohd ialah kisah seorang jutawan yang berasal daripada seorang Jurutera lulusan United Kingdom. Beliau telah berhenti bekerja makan gaji, mengeluarkan modal besar untuk menjalankan perniagaan 'air cond'. Ternyata perniagaan itu mengalami kerugian besar, sehingga boleh dikatakan jurutera ini jatuh miskin. Namun dengan kesungguhan melalui liku2 dugaan, tabah dan tawakkal, Allah buka rezekinya setalah bertemu kawan lama. Dengan membuat servis air cond sendiri beliau akhirnya berjaya membina perniagaan sehingga mempunyai syarikat yang kukuh hari ini. Bagaimana beliau melakukannya? Bacalah sendiri..

Cikgu berkata dalam hati, buku ini mesti cikgu kongsikan dengan orang lain. Pertama, setelah balik bercuti dari matriks pada minggu depan, Farhah anak cikgu yang sulung mesti membaca buku ini dulu. Kemudian adik2nya pula. Cikgu juga nak kongsikan buku ini dengan rakan2 sekerja. Berbahagialah Pn Ainon kerana telah menyampaikan kebaikan melalui tulisannya ini.

Bacalah sinopsis buku ini dulu ya! :

Buku ini memberi panduan dan tip kepada sesiapa sahaja yang berminat memulakan perniagaan sendiri. Antara perkara menarik yang disentuh di dalam buku ini seperti bagaimana memilih calon isteri untuk usahawan, bagaimana memilih syarikat dan sektor bisnes, bagaimana memilih rakan kongsi dan bagaimana syarikat dirompak dan perkara baik yang membahayakan.



Sunday, March 21, 2010

Indahnya hidup bersyariat



Alhamdulillah walaupun cuti sekolah sangat singkat, akhirnya cikgu dapat juga meluang masa ke Kuala Lumpur bercuti dengan anak2. Sambil2 suami menjalankan tugas, apa lagi' tumpang semangkuk' lah. Kalau tak macam tu tak dapat berjalan. Hari2 pergi ke sekolah juga walaupun cuti.

Cikgu sampai ke KL pada petang Khamis. Jam 5 petang baru dapat 'check in' hotel. Perjalanan macam jauh sangat...singgah mengurus bisnes cek abang di sana sini, lambat sampai ke destinasi. Tapi tak apa, asalkan dapat berjalan. Syukur alhamdulillah.

Yang paling seronoknya ialah, di PWTC ada Pesta Buku yang bermula jumaat 19 Mac. Rezeki...rezeki..... Walaupun masuk ke ruang pameran, jauhnya perjalanan kena berjalan kaki di dalam tu sejarak Safa dan Marwa, akhirnya cikgu puas hati jugak. Paling best dapat beli banyak buku baru. Antaranya yng paling best ialah INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT keluaran Telaga Biru dan ditulis oleh Dato Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab Hamid.

Ya Allah, bestnya buku tu. Belilah.... takkan rugi sepanjang hayat. Bukunya mengajar pembaca untuk melaksanakan syariat langkah demi langkah, ada gambar, gambarajah, carta, jadual dan macam2 lagi. Semuanya jelas dan cantik serta berkualiti tinggi. Yang mula2 menarik hati cikgu ialah bab mengurus jenazah. Semua peralatan dan langkah2 mengurus jenazah, digambarkan dengan sangat jelas. Kalaulah Allah izin ada kematian di dalam keluarga cikgu, insyaallah buku ini dapat memberi panduan yang sangat baik. So, jangan tunggu lagi....dapatkan buku itu di SINI.

Sunday, February 21, 2010

Mak kamu ni...semakin tua...

Terfikir tak anak2, bahawa seorang itu semakin hari semakin tua. Semasa remaja, tidak terasa pula semakin tua. Bahkan apabila menyambut hari lahir saban tahun, remaja merasa bahawa dirinya semakin matang dan sepatutnya diberi kepercayaan untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan pada tahun sebelumnya. Benar kan?

Memang benar.... untuk remaja, apabila diberi tanggung jawab baru, biasanya dia merasa, tanggungjawab itu tak sepatutnya diberikan kepadanya, kerana dia masih remaja. Tetapi dalam hal untuk melakukan sesuatu yang belum pernah diceburinya, atas pilihan sendiri, dia akan merasa, sepatutnya ibu dan ayah membenarkan. Lebih2 lagi, dia berani melafazkan kata2 keramat..."tahulah kita jaga diri, kita kan dah besar ni mak...!". Remaja seperti inilah yang selalu kecundang!

Itu hal remaja... dalam hal dia merasa saban tahun dia semakin besar, dia selalu lupa bahawa seiring dengan itu, ibunya juga semakin lanjut usia. Apa ada pada orang tua?

Orang tua selalu sinonim dengan kelemahan dan penyakit yang pelbagai. Jalan pun tak boleh laju, kerana lutut pun dah longgar. Kalau dulu boleh bawa kereta lama2 , jauh2 dan laju2, apabila semakin tua, mata pun tak awas lagi, terutama untuk memandu waktu malam. Tubuh badan cepat letih, stamina sudah berkurang. Walaupun keinginan semakin banyak, kerana keperluan anak2 semakin tinggi. Maklum, anak2 yang kanak2 tu sudah semakin remaja, dah semakin banyak kehendaknya. Kalau masa kecik, dapat pensel sebatang sebagai upah sudah memadai, tetapi apabila remaja, mana nak pensel sebatang, tak mainlah beb!

Cikgu pun macam tu, sudah semakin tua. Cikgu nasihatkan anak2 remaja, supaya ingat bahawa semakin kamu menjadi dewasa, ibu kamu juga semakin tua. Semakin tidak mampu untuk memenuhi kehendak kamu yang pelbagai. Namun begitu, semua ibu berusaha memenuhi hasrat anak2nya. Tetapi untuk seorang anak, memadailah kalau kamu syukuri kehidupan ini, kamu masih bertuah jika ada seorang ibu, walau tidak dapat memberi apa2 lagi kepada kamu, DOA IBU SUNGGUH DAHSYAT!

Cikgu telah kehilangan doa itu. Dulu setelah ibu sendiri tiada, cikgu dapat ibu mertua selepas beberapa tahun. Cikgu selalu meminta dia mendoakan cikgu. Alhamdulillah, banyak yang tercapai di dalam hidup ini berkat doanya. Sekarang ibu mertua pun dah tak ada... Tiada apa yang dapat menggantikan doa ibu. Kekuatannya seperti doa nabi untuk umatnya. MasyaAllah!
Jadi, sebelum kehilangan ini dilalui, hargailah ibu. Ibumu semakin tua....janganlah minta yang macam2, cukuplah meminta didoakan...

Friday, January 29, 2010

Bila hati terluka

Macam-macam boleh dilakukan apabila hati terluka. Kadang2 perkara kecil pun, akan menambah luka. Ibarat dah luka, ditabur pula garam, semakin perit walau terkena garam yang sedikit.

Minggu ini cikgu lalui dengan hati terluka. Hanya dengan perkara2 kecil dan biasa. Peristiwa tersinggung dengan perkara remeh pun melukakan. Apatah lagi bila tersinggung dengan orang yang kita kasihi. Kemudian, untuk menambah luka, perilaku anak2 murid yang acuh tidak acuh dengan tugasan yang diberikan. Juga melukakan hati. Rasa marah pula mengambil tempat di jiwa. Astaghfirullah.... Semoga Allah ampuni segala dosa.

Kadang2 marah dapat ditangani dengan baik. Rasulullah menganjurkan sekiranya seorang muslim sedang marah ketika dia berdiri, duduklah. Jika ketika dia sedang duduk, bolehlah berbaring. Bukannya dari duduk, malah bangun. Apatah lagi, menghayunkan tangan untuk bertindak diluar batasan.

Hari ini, rata2 apabila anak2 murid marah, cikgu dengar mereka menghamburkan kata2 kesat antara satu sama lain. Yang ini tidak pernah pula dianjurkan oleh Nabi kita Nabi Muhammad saw. Beristighfarlah...semoga Allah mengampunkan yang memarahi mahupun sesiapa yang dimarahi. Itu jugalah yang cikgu bisikkan di dalam hati ini. Maklumlah, sebagai cikgu dan guru, lintasan hati pun sudah cukup didengari oleh Allah swt. Mudah2an cikgu akan tetap sentiasa mendoakan yang baik2 sahaja untuk semua anak murid cikgu. Cikgu sayang kamu...

Monday, January 25, 2010

Sekolah Ganti yang Terbatal

Cikgu dah merancang akan selesaikan tajuk pertama mathematics,"GRAPH FUNCTION II", pada hari persekolahan ganti 23 Januari yang lalu. Semua bahan sudah sedia, lagipun ada guru kelas 5 Bestari yang tiada di sekolah hari tu. Dapatlah cikgu masuk kelas sampai 4 waktu. Alhamdulillah.

Tetapi, sambil kita merancang, Allah pun merancang juga. Sekolah ganti pada sabtu 23 Januari itu dibatalkan. Yang pasti rancangan Allah pasti jadi, ingat, 'kun fayakuun', "Jadilah, maka jadilah ia". Siapalah yang dapat menghalang rencana ALlah yang Maha Berkuasa. Sudah sampai di situ sahaja umur yang Allah tentukan ke atas DYMM Baginda Sultan Johor. Seluruh rakyat Johor bersedih atas kepulangan ke Rahmatullah, baginda sultan. Lebih-lebih lagi di dalam upacara persemadian baginda, apabila mendengar talkin dibacakan, hati cikgu terusik juga.

Semoga semua yang masih hidup, memaafkan semua kesalahan orang lain. Semoga yang hidup sentiasa mendoakan orang2 yang pergi agar diampunkan segala dosa mereka. Semoga segala bentuk kebaikan, walau sekecil mana pun akan diganjar Allah dengan kebaikan yang berlipat ganda. Cikgu doakan roh baginda aman di dalam persemadian. Teringat pula cikgu kepada lagu nyanyian kumpulan Far East, "Menanti di Barzakh". Ya Allah, ampunilah segala dosaku dan seluruh keluargaku. Ampunilah dosa kedua orang tuakau, ampuni dosa kaum muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yenga telah tiada. Amin ya Rabbal 'alamin.


Thursday, January 21, 2010

I must start my diet today & right now

Cuti sekolah yang lepas, berat badan cikgu naik sebanyak 5 kg. Innalillahi....... Rasa seksa betul. Beberapa hari sebelum naik sekolah, sakit tengkuk sampai hari ni tak hilang. Kawan2 semua nasihat utk dapatkan pemeriksaan doktor, siapa tahu patient darah rendah dah jadi darah tinggi pulak.

Pada umur2 begini, cikgu memang dah mula terasa, sakit di sana sini. Tang lutut, tang pinggang...maklum. Ditambah pulak dengat berat badan. Ya Allah berikanlah kekuatan. So, sebelum jumpa doktor, cikgu nak kabar azam cikgu. Cikgu nak jaga makan....nak start diet dan dah start pun, not tomoorow lagi, but right now!

What do I do, I go to gym almost 3 to 4 times in a week. I control my calories intake. And let's see the results in 2 or 3 weeks from now. Dah tak mau kekal as the president of the Chubby Club anymore! Anybody else want to join me? Come on and join!

Monday, January 18, 2010

I'm proud to be Malaysian







2 hari lepas cikgu berjalan2 ke Puteri Harbour, Nusajaya. ALhamdulillah seronok sungguh melihat keindahan alam. Langit terang pulak tu. Ada kawasan yang lapang juga. Kalau ada layang2 kan bagus. Cuaca sekarang memang elok untuk main layang2.

Asalnya cuma nak tengok rumah baru di Nusa Idaman. Masih dalam proses. Ada masa sebelum maghrib menjelang, cikgu ajaklah hubby dan anak2 ke sana.

About Me

My photo
I'm a chemistry & math teacher at SMK Sdary, Jb. A mother to 2 sweet daughters and 2 sons. They make my life colourful.