Friday, October 29, 2010

Adakah semua cikgu pandai?

Lebih kurang 2 tahun sebelum alaf 21 bermula, cikgu mendapat keputusan bahawa cikgu telah lulus semua kertas yang cikgu duduki semasa mengambil kursus Sarjana, dan surat itu memberitahu bahawa cikgu layak dianugerahkan Sarjana Pendidikan. Alhamdulillah, syukur kepada ALlah. Segala penat jerih telah terbayar rasanya. Ketika itu cikgu sedang mengandung anak ke 4. Konvokesyen akan diadakan pada hujung tahun tersebut.

Selepas beberapa hari semester baru dimulakan, cikgu mendapat panggilan telefon daripada salah seorang bekas pensyarah yang bertanyakan mengapa cikgu tidak mendaftar untuk satu subjek yang cikgu gagal. Aduh! Terasa seperti terguling jatuh tangga, sehingga tidak mampu bangkit lagi. Gagal? Bagaimana boleh gagal? Bukankah cikgu dah dapat keputusan lulus semua, dgn CGPA melebihi 3.5. Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan ini.


Akhirnya cikgu beranikan hati pergi ke kampus. Dengan perut besar, hati terasa bagai nak pecah. Dalam hidup cikgu, belum pernah cikgu gagal dalam mana2 peperiksaan awam atau peperiksaan universiti. Belum pernah cikgu mengulang mana2 kertas. Bagaimana boleh gagal. Cikgu tunggu Dekan Fakulti Pendidikan. Dikatakan, beliau sedang bermesyuarat.

Masa berlalu begitu perlahan. hati seperti disiat-siat. Air mata bertakung. Gagal? Bagaimana dikira gagal? Gagal dalam peperiksaan belum pernah menjengah cikgu. Belum pernah. Kalau sesekali ujian2 kecil, dapat markah rendah tu biasalah...Tappi gagal dalam final exam> Sungguh seperti tidak masuk akal.

Terlalu lama menunggu, akhirnya cikgu membuat keputusan untuk pulang dahulu. Di dalam perjalanan menuju ke kereta, cikgu terserempak dengan Puan Dekan. Cikgu terus bertanya padanya, serentak dengan itu, air mata bercucuran. Tak mahu berhenti. Dekan cikgu cuma berkata,'Janganlah menangis, it's not good for your baby'. Cikgu tidak peduli, cikgu terus menangis. Entah benar cikgu gagal atau ada kesilapan pada result, sampai sekarang cikgu atau dekan cikgu pun tak pasti. Yang cikgu pasti, hujung tahun tu cikgu konvo jugak. Dapat jugak Sarjana. Satu kertas yang dikatakan cikgu gagal itu akhirnya tak perlu cikgu ulang lagi.

Namun, peristiwa itu dapat memberi cikgu pengalaman merasai bagaimana merasa GAGAL. Rupanya Gagal itu sangat menyedihkan. Seperti tiada jalan keluar lagi. Cikgu kembali kepada diri, untuk apa cikgu belajar? Cikgu cuma hendak menambah ilmu sahaja. Dalam mendapat ilmu, cikgu tidak kira, tak perlu merasa bimbang tentang penilaian orang semata2. Yang penting, sebab2 cikgu belajar adalah kerana Allah. Kalau gagal belajarlah lagi. Gagal dapat memberitahu kita di mana kesilapan kita. GAGAL juga dapat menunjukkan kelemahan kita, supaya kita punya ruang untuk perbaiki diri, terus menerus. Tiada noktah kepada memperbaiki diri sendiri....

Sebab...Allah tidak menjadikan manusia bodoh, tetapi Allah manjadikan manusia dengan kepandaian yang berbeza-beza.

Monday, October 25, 2010

Cikgu dah tua, Bak lagilah dah tua.







Tidak banyak perkara menarik yang berlaku akhir2 ini. Kehidupan semakin sibuk, di sana sini hanya ada peperiksaan. Sungguh, peperiksaan ni membuatkan orang stres saja.

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, Fauzan akan hadapi SPM. Syaffa mula menghadapi peperiksaan akhir tahunnya esok(26 OKT), Syamil pula mulai 1 november, Farhah mungkin sedang menelaah pelajaran(harap2lah). Rasanya semua lecturernya berebut nak beri test dan kuiz untuk koleksi markah carry ke final. Semoga semuanya cemerlang.

Hujung minggu yang lalu, cikgu menziarahi ayah cikgu(Bak). Dapat tahu melalui facebook, Bak tak berapa sihat. Sakit perut buang2 air. Asalnya sakit badan dan urat. Jumpa doktor, doktor pulak tak berapa mesra. Menurut Bak, senyum pun tidak. Macam tulah rasa hati orang tua, sensitif. Habis dengan semua doktor dia merajuk, langsung tak mahu ke klinik lagi, SERIK!

Apa yang cikgu boleh buat, setakat gosok2 minyak tu luluslah, tapi kalau nak mengurut, mintak mahaplah. Tak pandai. Jadi esoknya, cikgu bawaklah seorang tukang urut kepada Bak, alhamdulillah, bila balik, dapatlah meninggalkan orang tua yang dah boleh tersenyum. Best kot kena urut....

Bak cikgu tu dah tua. Kira2 sekarang ni dapat umur bonus. Kira sahajalah, berapa umur oang yang lahir tahun 1925? Tak ke dah 85 tahun tu! Syukur lillah, umur masih ada, sesekali boleh lagi memandu kereta ke kedai sendiri. Ada kala bertukang juga, ada sahaja projek yang nak dibuatnya. Dulu, cikgu larang jugak dia buat itu dan ini. Tapi lama2 baru faham. Kalau orang tua dah tak buat apa2, dia semakin tak sihat. Sebab perasaannya merasa, dirinya dah tak berguna lagi. Biar badan tak berapa gagah, tapi kalau hati senang, badan yang lemah pun terasa ringan dan kuat.

Kira2 pada 23 Oktober yang lalu, umur cikgu mencecah 49 tahun. Umur cikgu dan Bak berbeza sebanyak 36 tahun. Syukur, masih punya seorang bapak. Itulah sumber doa yang berpanjangan. Teringat semasa muda, cikgu selalu berbalah dengan Bak. Maklum, jiwa remaja, ada sahaja yang tak kena. Semua yang bapak cakap, salah sahaja di telinga cikgu.

Sekarang, cikgu pula semakin tua. Cikgu pulak menjadi sumber mendoakan anak2. Memang banyak yang tak kena, banyak tak banyak pun, ada juga berbalah dengan anak. Mudah2an Allah dorong cikgu agar sentiasa memahami anak2. Dan pada masa yang sama dapat mengasuh anak untuk mentaati Allah swt yg telah mengurniakan mereka kepada cikgu. Dalam hati, doa cikgu sentiasa mengiringi mereka. Mudah2an cikgu sempat meniti usia tua bersama mereka, melihat mereka menjadi dewasa dan punyai keluarga sendiri, macam Bak dengan cikgu.

Wednesday, October 20, 2010

Kematian menjengah lagi

Hari ini cikgu dikejutkan dengan satu lagi kematian. Seorang sahabat telah meninggal dunia jam 7.15 pg setelah beberapa tahun disahkan menghidap penyakit kanser. Berusia 54 tahun, pada cikgu...umur ini masih muda untuk sebuah kematian. Namun kematian menemui semua umur, yang muda, tua, kaya mahupun tidak punya harta...semuanya akan mati. Bahkan ia suatu yang sangat pasti.

Sahabat cikgu ini tidak punyai zuriat walau pun seorang. Tetapi hatinya begitu mulia, pekerjaannya juga mulia. Beliau seorang guru. Mungkin sebab kemuliaan profesion guru inilah, maka ALlah mentaqdirkan cikgu menjadi seorang guru.

Maka teringatlah cikgu akan suatu maksud hadis Rasulullah S.A.W. daripada Abu Hurairah:"Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa dari anaknya yang soleh"(Hadis Riwayat Muslim).

Yang dipunyai oleh hampir semua kita adalah harta untuk disedekahkan dan ilmu yang dimenafaatkan. Jika yang ini belum ada, masih boleh dicari selagi ada usia. Tetapi memperolehi seorang anak, belum tentu dapat diperolehi oleh semua orang.

Kalau sedikit harta kita, sedikitlah yang dapat kita sedekahkan. Kalau sedikit ilmu kita, sedikitlah juga yang dapat kita menafaatkan. Sebab itu, perlulah kita mencari harta dan menuntut ilmu, supaya mati kelak, harta dan ilmu ini terus berbakti menyumbangkan amalan yang berterusan untuk kita.

Tanpa mengira usia, marilah kita bersedia untuk sebuah kematian.Marilah kita memperingati kedatangan 5 perkara sebelum 5 perkara yang lain ini :

Kaya sebelum miskin,
Sehat sebelum sakit,
Muda sebelum tua,
Lapang sebelum sempit ,
Hidup sebelum mati.

Semoga Allah mengampunkan segala dosa kita dan segala dosa orang2 yang telah pergi mendahului kita...Amin

Thursday, October 14, 2010

Bosankah Belajar?

SPM akan tiba 39 hari lagi. Hari2 penting mendatang menandakan, masa untuk bersedia sudah tinggal sedikit cuma. Begitu juga peluang menjadi pelajar sekolah menengah hampir habis. Bagi sesetengah pelajar, mereka telah selamat berhenti(dibuang) sekolah walaupun SPM belum pun dilalui.

Masih cikgu ingat satu ketika di masa muda. Masa begini begitu mencemaskan. Buka satu buku rujukan, terpandang pula rakan yang membuka buku lain. Apa tah lagi kalau melihat rakan2 lain membaca juga, tetapi di bahagian yang belum cikgu baca atau ulangkaji. Seram oooo! Rasanya, macam kita seorang sahaja yg belum sedia. Sedangkan orang lain dah mengulang mengkaji buat kali ke berapa entahnya.

Lihat anak2 PMR, terasa cemburu. Mereka sudah pun selesai berjuang. Cikgu2 PMR pun sedang bertenang2. Tapi cikgu SPM macam tak cukup nyawa berperang. Hairannya, banyak orang rileks aje, walau belum ada apa2. Baru cuba selesai jawab 2 soalan, dah seperti orang mencangkul tanah se relong. Tidor seperti orang yang belum pernah tidor sepanjang hayat. Apa nak jadi!

Janganlah begitu anak2.... Harapan cikgu, 39 hari ini digunakan sebaiknya. Selagi ada cikgu yang hendak mengajar, pergilah ke sekolah tanpa gagal. Jumpa cikgu, tanya soalan, leraikan segala kebuntuan. Ajak rakan2 yang baik untuk belajar sama. Bukan senang nak berkumpul ramai2 di satu tempat seperti sekolah. Nantilah....bila tiada peluang bersekolah....baru tahu apa perasaannya. Mudah2an anak2 tidak kan menyesal melepaskan peluang baik ini.

Kuatkan semangat, kuatkan hati! Selamat Berjuang!

About Me

My photo
I'm a chemistry & math teacher at SMK Sdary, Jb. A mother to 2 sweet daughters and 2 sons. They make my life colourful.