Sunday, February 5, 2017

Cikgubest Kembali

Salam semua, Alhamdulillah, dengan izin dan kurniaNya hari ini 5 Februari 2017, cikgu dapat kembali ke blog ini. Rasa canggung juga untuk menulis semula. 


 Alhamdulillah cikgu sudah pun bersara pada 2 Julai 2016. Syukur selepas berkhidmat sebagai guru di pelbagai sekolah menengah(10 sebenarnya) cikgu berjaya bersara sebelum usia 55 tahun. Bersyukur sangat kepada Allah, diberi peluang untuk menghantar anak bongsu ke sekolah pada saat anak cikgu hendak menghadapi SPM 2016. Terasa sangat bahagia apabila dapat bersama-sama anak cikgu, melihat dia berbaris mengikut angka giliran SPM, bersama-sama mengangkat tangan berdoa untuk kejayaannya dalam peperiksaan.


Berada di rumah, dapatlah cikgu bercucuk tanam serba sedikit.  Memang sungguh seronok dan memuaskan hati. Dapat menikmati sayur tanaman sendiri.  Bangun pagi dapat melihat pokok di sekitar rumah berbunga.  Pokok labu berbunga dan berbuah, memang sungguh mebahagiakan.


Cikgu berterima kasih kepada seluruh ahli keluarga, aruah bak dan aruah mak, suami dan anak-anak yang selalu menyokong cikgu bekerja mencari nafkah dari muda sampailah ke tua. Anak-anak ikut pergi sekolah, sama-sama mencuci kolam ikan di Maktab Sultan Abu Bakar... sama-sama melaksanakan Program Sukan, Hari Keluarga dll.  Semuanya tinggal kenangan.  


Banyak yang cikgu pelajari semasa mengajar.  Di sana cikgu mengajar, cikgu belajar dan cikgu juga diajar.  














I am a teacher and a teacher I will always be until I meet Allah The Almighty!

Thursday, September 15, 2016

Allah memberi kita harta bukan kerana kerajinan kita sayang!

Anda rajin bekerja? Anda rasa sudah sepatutnya anda mendapat rezeki yang banyak kerana anda rajin bekerja? Anda rajin belajar? Anda rajin membaca? Anda rajin membuat kerja sekolah? Adakah anda merasa sudah sepatutnya anda mendapat markah yang baik kerana anda rajin? Hakkatnya, ia tidak berlaku begitu sayang. Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya tanpa batas. Habis, mengapa kita perlu berusaha. Kita berusaha kerana Allah suruh kita bekerja. Allah perintahkan kita berusaha. Hidup berusaha adalah wajib ke atas kita.

Thursday, August 16, 2012

Dia Sudah diPanggil Pulang

Hari ini 27 Ramadhan. Orang yang cikgu kasihi dipanggil pulang menghadap Allah dalam keberkatan bulan Ramadhan. Tiada siapa menduga, ramadhan tahun lalu adalah yang terakhir untuknya. Semoga di dalam hayatnya, dia telah mendapat keistimewaan malam lailatul qadar beberapa kali. Beberapa hari yg lepas 'mak' dimasukkan ke hospital Sultanah Aminah kerana masalah jantung yg bengkak akibat serangan virus yg menular melalui kakinya. Allahyarhamah Mak Yah telah lama cikgu panggil dgn panggilan mak, iaitu sejak cikgu kehilangan ibu kandung pada 1987. Alhamdulillah, ukhuwah yg terbina antara kami sangat baik. Mak tak petnah hilang kepercayaan pada cikgu. Kemana pun cikgu berpindah, mak pasti akan datang menjenguk. Cuma apabila cikgu pindah ke Mersing pada hujung 1998, mak tak dapat datang. Tak ada orang nak bawa katanya. Terakhir mak ziarahi cikgu adalah pada hari raya tahun lalu, apabila cikgu berpindah di rumah baru. Cikgu pergi tengok mak di hospital bbrp hari yg lepas. Memang kesian, nafas turun naik, serba tak selesa di pembaringan. Tapi petang semalam, cikgu dapat berita dia dah beransur baik, salur oksigen dah dilepaskan dan dah ada selera makan. Tapi subuh tadi, Allah menjemput emak kembali. Suka tengok muka mak, bersih dan tenang seperti sedang tidur. Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan menerima segala amalnya. Hari ini cikgu benar2 merasa suatu lagi kehilangan seorang emak yg disayang. Al Fatihah.

Friday, October 28, 2011

SELAMAT PENGANTIN BARU ZURA

Insyaallah anak saudara cikgu akan melangsungkan perkahwinannya pada hari esok. Semoga Allah berkati rumahtangga mereka berdua. Ramailah yang akan berhimpun di rumahnya nanti. Bagi cikgu, majlis perkahwinan adalah majlis reunion keluarga. Dah lama tak kumpul adik beradik ramai2 di Kluang. Sejak mak dan abah tak ada, jarang sangat balik sana. Raa rindu juga kat mak, dengan abah lebih2 lagi.

Masa abah ada, tiap kali cikgu sampai ke Simpang Rengam, cikgu akan call dia dulu untuk beritau yang kami dalam perjalanan ke rumahnya. Abah cepat2 akan jerang air. Buat air panas sampai dua tiga jenis. Pergi kedai beli ayam dan masak nasi tambah. Yang hairannya di rumah abah, anak2 cikgu akan minum air panas, berebut2 makan biskut keras. Kalau mak goreng nasi, lagilah berebut2 makan. Makan berebut memang sedap, orang sekarang kata 'sedap giler'. Rindunya pada mak dan abah.

Teringat lagi waktu cikgu sakit. Walaupun mak abah tak ada kenderaan sendiri, merekalah yang akan mula2 menjengah cikgu di hospital. Memang tak terbayar jasa mak abah.

Berbalik kepada ceritan anak saudara cikgu nak bernikah esok, cikgu rasa happy sangat. Belum pun apa, ajk majlis dah disusun rapi. Abang, kakak dan adik2 ipar cikgu ni memang best teamworknya. Ibarat, belum dipanggil sudah datang. Kalau ada kenduri kendara, daripada bahan masih mentah sampailah periuk belanga habis tersusun bersihndan kering, tiada siapa persoal kerja. Syukur cikgu dapat berkeluargakan mereka. Harap2 silaturrahim berkekalan....sampai dah terasa macam cikgu pulak teringin nak bermenantu, Farhah, bilalah kamu nak kawin ya!

Cuti dan SPM

Salam dunia. Hari ini cikgu masih datang sekolah walaupun sekolah bercuti sempena hari Deepavali. Nak beri semangat kat anak2 SPM.... Alhamdulillah ada yg dtg sekolah awal pagi walaupun ramai yang datang lewat. Tidak mudah mengumpul semangat utk ke sekolah tatkala anak2 yang lain sedang dibuai mimpi. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya tanpa batas kepada anak2 yang tidak putus2berusaha.

Anak2 yang dikasihi sekelian. Hari ini akan berlalu. Minggu ini juga akan berlalu, tidak terkecuali....tahun ini juga akan belalu. Anak2 tidak mungkin sama sekali akan mengulangi saat ini. Ia saat2 yang kelihatan sukar, bukan kerana ia benar2 sukar. Tetapi kesukaran hari ini dilihat sukar kerana anak2 belum lagi melihat kesukaran yang sebenar. Sabarlah menanti, Allah tetap akan mendatangi anak2 dengan cabaran demi cabaran yang lebih sukar. Yang sedikit anak2 tempuhi sekarang adalah sebagai latihan untuk masa hadapan. Percayalah, jika anak2 tidak mempercayai cikgu pada hari ini, satu ketika di kemudian hari anak2 pasti akan percaya juga.

Hanya tinggal dua minggu sebelum SPM menjelang. Semoga anak2 boleh bertahan. Buatlah sesuatu demi tuhan, insyaallah Dia akan memakbulkan segala permintaan.....SELAMAT BERJUANG ANAK2KU....

Friday, June 10, 2011

Apakah yg membahagiakan?

Alhamdulillah, dah sampai hujung cuti pertengahan tahun. Lagi 2 hari sekolah akan dibuka. Hari ni cikgu cuba menganalisis markah atau pencapaian anak2 murid cikgu. Mudah2an dapatlah menambah baik di masa akan datang.

Setelah beberapa hari tidak ke sekolah, pagi tadi cikgu pergi ke sana. Berjumpa beberapa orang guru yang bertugas dan bertemu juga dengan guru yg telah bersara. kami berbual2 tentang kebahagiaan. Apa yg membahagiakan apabila kita pulang ke rumah? Ada orang bahagia dengan rumah yang "neat and clean"; ada yang bahagia dan tenteram dengan tata hias ruang tamu dan langsir; ada yang bahagia dengan keletah anak2 yang ramai; cikgu pula rasa cukup bahagia kalau satu hari apabila pulang ke rumah, anak2 tidak bergaduh dan bermasam muka sesama sendiri. Cukuplah, tak buat kerja rumah teruk2 pun tak apa, tapi jangan bentak membentak dan bermasam muka serta tidak bertegur sapa. Sungguh bahagia... Dapat makan bersama dan berbual mesra, share all the worries and difficulties, leraikan masalah bersama, solat jemaah dan mengaji bersama. ya Allah...sungguh membahagiakan....

Friday, April 1, 2011

Bangunlah Melayu

MasyaAllah, setelah sekian lama...hari ini cikgu bertemu dengan youtube pidato hebat yang cikgu cari2. Cikgu telah menyaksikan sendiri laungan pidato ini dalam seminar yg cikgu hadiri dulu di Melaka. Alhamdulillah, anak cikgu jumpa dan kirimkan kat cikgu video ni. Marilah anak2...kita hayati bersama....


Saturday, February 5, 2011

Cuti CNY bersama Ma Yan



Seperti dinyatakan dalam entry sebelum ini, cikgu mulakan cuti dengan menghadiri Konvensyen Mengingati 500 Kejatuhan Epayar Islam Melaka. Allah izin dapatlah cikgu beli senaskhah Novel bertajuk Ma Yan. Buku yang ditulis berdasarkan kisah benar yang berlaku di sebuah kampung di negara China. Kisah ini berlaku di alaf ini kerana Ma Yan lahir pada tahun 1988. Jika orangnya benar2 wujud, umur beliau baru 23 tahun.

Sangat terharu membaca kesungguhan Ma Yan dalam mendapatkan peluang belajar. Dengan berjalan sejauh 20 km untuk mendapatkan sekolah, makan semangkuk nasi sejuk untuk sehari, menahan lapar selama 3 minggu hanya untuk mebeli sebatang pen berharga 2 yuan, Ma Yan bukan anak sebarangan. Walaupun miskin, jiwanya kaya dengan usaha, hidup berbekalkan keyakinan ibu dan doa ibu bapa. Ma Yan akhirnya berjaya mendapat keputusan cemerlang, menjadi budak terpandai dikampungnya.

Bandingannya dengan anak2 cikgu yang tidak pernah kenal erti susahnya mencari rezeki...dan anak2 murid cikgu. Makanan tidak pernah putus. Pergi ke sekolah sejengkal cuma. Ada yang berjalan kaki tetapi dekat sekali, ramai juga yang menaiki kenderaan. Di hantar ke pintu pagar sekolah, berbekalkan beberapa ringgit. Namun ada yang tidak tiba ke dalam kelas, duit yang diberikan ibu, di belanjakan untuk membeli rokok. Kerja sekolah tidak disiapkan. Ada yang menghadiri kelas di cyber cafe, walaupun ibu menhantarnya di depan pintu pagar sekolah....Jauh angat dibandingkan dengan Ma Yan.

Anak2 yang dikasihi, bukalah hatimu. Bacalah buku Ma Yan. Moga ALlah terang lapangkan penglihatan mata hatimu, supaya lebih menghargai peluang yang diberikan kepadamu. Peluang berada di sekolah, peluang mendapat pendidikan bermakna mendapat peluang merobah masa depan ke arah yang lebih baik...Semoga kamu semua enjadi anak yang berguna suatu hari nanti. Insyaallah.

Sunday, January 30, 2011

Cuti lagi & Kenvensyen 500 tahun Kejatuhan Melaka

Pagi2 ahad ni, cuti dengan hujan yang tak berhenti amatlah sesuai2 untuk bermalas2 dan berleka2 di rumah. Anak2 apa tah lagi, sejuk mengerekot di tempat tidur. Kalau dapat makan jemput2 ikan bilis dengan kopi panas, elok jugak kan...syok betul.

Apa yang akan dibuat dek anak2 bila dia bangun nanti? Cuba teka? Aaah! Dah biasa dah. Budak2 zaman sekarang, kreatifnya bahagian lain, sesuailah dengan zaman teknologi sekarang.


Semalam cikgu berpeluang menghadiri Konvensyen Mengingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Islam Melaka. Ramainya orang hadir, lebih 3300 memenuhi Dewan UTeM Melaka. Seronoknya! Ramai orang muda, pelajar2 Universiti. Baguslah. Dapat isi hari pertama cuti tanpa sia2. Adalah jugak ceramah2 yang mengingatkan tentang nostalgia zaman dulu.

Cikgu masukkan sikitlah apa yg disampaikan dalam kertas kerja 1 di sini :



Latar Belakang Empayar Melaka

 Putera Srivijaya (Sang Nila Utama) menawan Temasek setelah kerajaan Srivijaya dijatuhkan oleh kerajaan Majapahit.
 Cicit Sang Nila Utama (Dharmaraja) melarikan diri dari Temasek setelah diserang oleh kerajaan Majapahit yang bekerjasama dengan bendahara yang belot.
 Dharmaraja (Parameswara) membuka Kota Melaka pada tahun 1401.

Kegemilangan Melaka

POLITIK
 Sistem pentadbiran yang teratur. (Sultan, Bendahara, Laksamana)
 Pentadbiran mengikut cara Islam.
 Sultan yang warak. (Sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin Riayat Shah)

EKONOMI
 ‘Whoever holds Malacca will hold Venice by the throat’ (Tome Pires)
 Perdagangan melibatkan seluruh pelusuk dari Timur Tengah ke Cina.
 Terdapat 84 bahasa yang dituturkan di Melaka.
 Lingua franca : Bahasa Melayu.
 Terdapat bahan mentah dari serata dunia.
 Pusat dagangan paling terkemuka di Asia.

Kesimpulan
 Kita perlu sedar bahawa kita mempunyai asal usul yang suatu masa dahulu pernah menggegarkan dunia.
 Melayu tidak perlu malu dan memalukan diri sendiri kerana sejarah telah membuktikan kegemilangan bangsa ini.
 Kesedaran generasi kini harus diperbaiki untuk mendaulatkan kembali bangsa Melayu dan agama Islam di tanah kita sendiri

Bila balik terjumpa pulak video nih:



Mari kita main-main suka-suka
Engkau jadi Ali aku jadi Che' Fatimah

Neng neng pong
Senduk patah belanga rompong
Che' Ali tumbuk tepung
Datang Che' Mah angkat lesung

Neng neng pong
Mangkuk pecah pinggan kosong
Che' Ali mintak tolong
Datang Che' Mah bawa terung

Hai Che' Limah apa sebab awak bengang
Saya bukan bodoh saya cuma kurang akal

Neng neng pap
Api padam nasi lembap
Che' Ali rebus ubi datang Che' Mah bawa kicap

Neng neng pang
Senduk patah cangkul hilang
Che Ali tanam jagung Che' Mah tanam ikan panggang

Hai Che' Ali apa sebab awak diam
Saya bukan diam saya cuma naik pitam

Neng neng pus
Sudin makan ikan rebus
Che' Ali pakai jubah Che' Mah pakai songkok tarbus




Memang hebat anak2 melayu dulu, kreatif dalam apa pun yang mereka buat, hatta dalam permainan sekalipun. Cabaran ni untuk anak2 sekarang...Siapa yang nak teruskan perjuangan orang2 dulu???

Saturday, January 1, 2011

I watched 'The Pursuit of Happyness', TQ Allah.

Hari ini cikgu tertonton satu kisah benar yg sangat menarik tentang kejayaan seorang usahawa bernama Chris Gardner. Best giler!

'The pursuit of Happyness', benar2 cerita yg sangatlah inspirational dan motivational. Isyk! Siapa2 ada peluang nak tengok cerita ni, tengoklah. Kisah bagaimana dia melalui liku-liku hidup sampai berjaya. Best betul, cikgu fikir, kalaulah cikgu dapat tayangkan cerita ni kat murid cikgu, alangkah baiknya.

Cikgu tunjukkan sikit trailer cerita tu kat sini. Terima kasih Allah kerana beri cikgu peluang menonton petang tadi. Terima kasih kat RTM sebab petang2 pun dapat siarkan cerita best.



Ada beberapa pengajaran daripada cerita ni yang cikgu dapat :

1. Sayangi anak2...mereka boleh menjadi penyebab untuk perjuangan hidup yang berpanjangan dgn penuh kegigihan, maksud nya, jadi sebablah untuk teruskan hidup...

2. Ilmu....harta nombor satu. Mesti rajin membaca.

3. Walau susah macamana pun, janganlah hidup meminta-minta. Selagi ada nyawa, mesti usaha.

4. Walaupun ada sedikit rezeki, bersedekahlah. Sedeqah daripada orang yg tidak berada lebih besar nilainya di sisi Allah.

Banyak lagi..nanti pelan2 cikgu fikirkan ya...

Monday, December 27, 2010

Belanja naik sekolah

Dekat2 naik sekolah ni, penuh shopping complex dengan emak2 dan anak2 mencari barang untuk sekolah. Pergi ke sekolah pun, ramai orang jugak. Ada sekolah, panjang betul orang berbaris, tunggu giliran beli buku. Cikgu pun tak terkecuali membeli persiapan untuk anak2 naik sekolah.

Alhamdulillah, pakaian dah cikgu urus awal2. Buku tulis ni jelah yang agak leceh sikit. Sebabnya, buku tulis baru dijual minggu ni. Tadi dapatlah cikgu selesaikan untuk anak yang darjah 6. Mak ai! Duit keluar macam air je. Baru darjah 6, buku tulis dan pelbagai mencecah lebih dari RM100. Belum bayaran sekolah lagi. Yang tingkatan 3 pulak, cikgu tengok terlalu panjang barisan orang beratur. Tak larat lah nak join beratur jugak. Pintu kedai pun, bukaknya kecik jer. Aduhai, dah tau nak jual buku tu, bukalah luas2 sikit. Pelanggan lari baru tau!

Cikgu fikir2, cikgu ni seorang guru. Pun...merasa perkara macam ni menyusahkan. Macamana pula yang dirasai oleh orang yang bukan guru ya. Orang datang ramai2 ni, bukan nak minta sedekah, tapi nak beri sekolah tu duit. Sekali lagi, bukan minta duit, tapi nak beri duit. Amacam, ada betul ke tidak?


Cikgu ambil perkara ni sebagai pengajaran. Balik ke sekolah cikgu sendiri, cikgu pastikan, kedai buku dibuka luas, biar pelanggan senang nak berbelanja. Kaunternya yang luas, pelayannya biar ramai. Maklum sesetengah ibu bapa, mengambil kesempatan keluar sekejap dari ofis untuk urus buku anak, sebab cuti tahun dah habis. Cikgu2 semua...semoga menjadi sempadan, nanti bila urus anak sendiri, cikgu akan faham....

Sunday, December 26, 2010

Farhah dah balik

Semalam Farhah balik USM. Habis sudah cutinya sebulan lebih. Macam sekejap pulak cuti tu. Alhamdulillah, pagi tadi dah pun dia sampai ke Penang dengan selamatnya. Senang hati cikgu bila dengar dia selamat tiba di asrama... Apa ke tidaknya, malam semalam sewaktu cikgu menghantar dia ke stesen bas Larkin, hujan bukan mainlah lebatnya. Banyak2 malam nak hujan, malam tadi lah yang lebat sekali. Hati seram sejuk je melepaskan anak dara balik malam2 naik bas dalam hujan. Alhamdulillah, walaupun lama menunggu bas yang tak tiba2 sehingga hampir pukul 11 malam, sampai juga dia dengan selamat.

Hari ni, terasa rumah sunyilah sikit. Dah kurang seorang untuk makan semeja. Anak2 lelaki pun sedang menikmati kasih sayang ayahnya. Dari lepas zuhur pergi memancing. Umpan habis, seekor ikan pun tak dapat. Lepas asar pergi lagi, tapi sekali ni tempat lain pulak....

Tinggal emaknya dengan anak dara yang seorang ni, asyik kerja makan cokelat aje. Tadi pergi Kipmart dah pekena satu cup Cool Blog. Ni dekat2 ni...apa pulak kehendak dia. Isyk!

Macam tulah dengan anak2, bila ada macam2 gaduhnya, bila tak ada terasa hilang pulak...apa2 ajelah. Baik lipat kain yang sebakul ni....Da....

Friday, October 29, 2010

Adakah semua cikgu pandai?

Lebih kurang 2 tahun sebelum alaf 21 bermula, cikgu mendapat keputusan bahawa cikgu telah lulus semua kertas yang cikgu duduki semasa mengambil kursus Sarjana, dan surat itu memberitahu bahawa cikgu layak dianugerahkan Sarjana Pendidikan. Alhamdulillah, syukur kepada ALlah. Segala penat jerih telah terbayar rasanya. Ketika itu cikgu sedang mengandung anak ke 4. Konvokesyen akan diadakan pada hujung tahun tersebut.

Selepas beberapa hari semester baru dimulakan, cikgu mendapat panggilan telefon daripada salah seorang bekas pensyarah yang bertanyakan mengapa cikgu tidak mendaftar untuk satu subjek yang cikgu gagal. Aduh! Terasa seperti terguling jatuh tangga, sehingga tidak mampu bangkit lagi. Gagal? Bagaimana boleh gagal? Bukankah cikgu dah dapat keputusan lulus semua, dgn CGPA melebihi 3.5. Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan ini.


Akhirnya cikgu beranikan hati pergi ke kampus. Dengan perut besar, hati terasa bagai nak pecah. Dalam hidup cikgu, belum pernah cikgu gagal dalam mana2 peperiksaan awam atau peperiksaan universiti. Belum pernah cikgu mengulang mana2 kertas. Bagaimana boleh gagal. Cikgu tunggu Dekan Fakulti Pendidikan. Dikatakan, beliau sedang bermesyuarat.

Masa berlalu begitu perlahan. hati seperti disiat-siat. Air mata bertakung. Gagal? Bagaimana dikira gagal? Gagal dalam peperiksaan belum pernah menjengah cikgu. Belum pernah. Kalau sesekali ujian2 kecil, dapat markah rendah tu biasalah...Tappi gagal dalam final exam> Sungguh seperti tidak masuk akal.

Terlalu lama menunggu, akhirnya cikgu membuat keputusan untuk pulang dahulu. Di dalam perjalanan menuju ke kereta, cikgu terserempak dengan Puan Dekan. Cikgu terus bertanya padanya, serentak dengan itu, air mata bercucuran. Tak mahu berhenti. Dekan cikgu cuma berkata,'Janganlah menangis, it's not good for your baby'. Cikgu tidak peduli, cikgu terus menangis. Entah benar cikgu gagal atau ada kesilapan pada result, sampai sekarang cikgu atau dekan cikgu pun tak pasti. Yang cikgu pasti, hujung tahun tu cikgu konvo jugak. Dapat jugak Sarjana. Satu kertas yang dikatakan cikgu gagal itu akhirnya tak perlu cikgu ulang lagi.

Namun, peristiwa itu dapat memberi cikgu pengalaman merasai bagaimana merasa GAGAL. Rupanya Gagal itu sangat menyedihkan. Seperti tiada jalan keluar lagi. Cikgu kembali kepada diri, untuk apa cikgu belajar? Cikgu cuma hendak menambah ilmu sahaja. Dalam mendapat ilmu, cikgu tidak kira, tak perlu merasa bimbang tentang penilaian orang semata2. Yang penting, sebab2 cikgu belajar adalah kerana Allah. Kalau gagal belajarlah lagi. Gagal dapat memberitahu kita di mana kesilapan kita. GAGAL juga dapat menunjukkan kelemahan kita, supaya kita punya ruang untuk perbaiki diri, terus menerus. Tiada noktah kepada memperbaiki diri sendiri....

Sebab...Allah tidak menjadikan manusia bodoh, tetapi Allah manjadikan manusia dengan kepandaian yang berbeza-beza.

Monday, October 25, 2010

Cikgu dah tua, Bak lagilah dah tua.







Tidak banyak perkara menarik yang berlaku akhir2 ini. Kehidupan semakin sibuk, di sana sini hanya ada peperiksaan. Sungguh, peperiksaan ni membuatkan orang stres saja.

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, Fauzan akan hadapi SPM. Syaffa mula menghadapi peperiksaan akhir tahunnya esok(26 OKT), Syamil pula mulai 1 november, Farhah mungkin sedang menelaah pelajaran(harap2lah). Rasanya semua lecturernya berebut nak beri test dan kuiz untuk koleksi markah carry ke final. Semoga semuanya cemerlang.

Hujung minggu yang lalu, cikgu menziarahi ayah cikgu(Bak). Dapat tahu melalui facebook, Bak tak berapa sihat. Sakit perut buang2 air. Asalnya sakit badan dan urat. Jumpa doktor, doktor pulak tak berapa mesra. Menurut Bak, senyum pun tidak. Macam tulah rasa hati orang tua, sensitif. Habis dengan semua doktor dia merajuk, langsung tak mahu ke klinik lagi, SERIK!

Apa yang cikgu boleh buat, setakat gosok2 minyak tu luluslah, tapi kalau nak mengurut, mintak mahaplah. Tak pandai. Jadi esoknya, cikgu bawaklah seorang tukang urut kepada Bak, alhamdulillah, bila balik, dapatlah meninggalkan orang tua yang dah boleh tersenyum. Best kot kena urut....

Bak cikgu tu dah tua. Kira2 sekarang ni dapat umur bonus. Kira sahajalah, berapa umur oang yang lahir tahun 1925? Tak ke dah 85 tahun tu! Syukur lillah, umur masih ada, sesekali boleh lagi memandu kereta ke kedai sendiri. Ada kala bertukang juga, ada sahaja projek yang nak dibuatnya. Dulu, cikgu larang jugak dia buat itu dan ini. Tapi lama2 baru faham. Kalau orang tua dah tak buat apa2, dia semakin tak sihat. Sebab perasaannya merasa, dirinya dah tak berguna lagi. Biar badan tak berapa gagah, tapi kalau hati senang, badan yang lemah pun terasa ringan dan kuat.

Kira2 pada 23 Oktober yang lalu, umur cikgu mencecah 49 tahun. Umur cikgu dan Bak berbeza sebanyak 36 tahun. Syukur, masih punya seorang bapak. Itulah sumber doa yang berpanjangan. Teringat semasa muda, cikgu selalu berbalah dengan Bak. Maklum, jiwa remaja, ada sahaja yang tak kena. Semua yang bapak cakap, salah sahaja di telinga cikgu.

Sekarang, cikgu pula semakin tua. Cikgu pulak menjadi sumber mendoakan anak2. Memang banyak yang tak kena, banyak tak banyak pun, ada juga berbalah dengan anak. Mudah2an Allah dorong cikgu agar sentiasa memahami anak2. Dan pada masa yang sama dapat mengasuh anak untuk mentaati Allah swt yg telah mengurniakan mereka kepada cikgu. Dalam hati, doa cikgu sentiasa mengiringi mereka. Mudah2an cikgu sempat meniti usia tua bersama mereka, melihat mereka menjadi dewasa dan punyai keluarga sendiri, macam Bak dengan cikgu.

Wednesday, October 20, 2010

Kematian menjengah lagi

Hari ini cikgu dikejutkan dengan satu lagi kematian. Seorang sahabat telah meninggal dunia jam 7.15 pg setelah beberapa tahun disahkan menghidap penyakit kanser. Berusia 54 tahun, pada cikgu...umur ini masih muda untuk sebuah kematian. Namun kematian menemui semua umur, yang muda, tua, kaya mahupun tidak punya harta...semuanya akan mati. Bahkan ia suatu yang sangat pasti.

Sahabat cikgu ini tidak punyai zuriat walau pun seorang. Tetapi hatinya begitu mulia, pekerjaannya juga mulia. Beliau seorang guru. Mungkin sebab kemuliaan profesion guru inilah, maka ALlah mentaqdirkan cikgu menjadi seorang guru.

Maka teringatlah cikgu akan suatu maksud hadis Rasulullah S.A.W. daripada Abu Hurairah:"Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa dari anaknya yang soleh"(Hadis Riwayat Muslim).

Yang dipunyai oleh hampir semua kita adalah harta untuk disedekahkan dan ilmu yang dimenafaatkan. Jika yang ini belum ada, masih boleh dicari selagi ada usia. Tetapi memperolehi seorang anak, belum tentu dapat diperolehi oleh semua orang.

Kalau sedikit harta kita, sedikitlah yang dapat kita sedekahkan. Kalau sedikit ilmu kita, sedikitlah juga yang dapat kita menafaatkan. Sebab itu, perlulah kita mencari harta dan menuntut ilmu, supaya mati kelak, harta dan ilmu ini terus berbakti menyumbangkan amalan yang berterusan untuk kita.

Tanpa mengira usia, marilah kita bersedia untuk sebuah kematian.Marilah kita memperingati kedatangan 5 perkara sebelum 5 perkara yang lain ini :

Kaya sebelum miskin,
Sehat sebelum sakit,
Muda sebelum tua,
Lapang sebelum sempit ,
Hidup sebelum mati.

Semoga Allah mengampunkan segala dosa kita dan segala dosa orang2 yang telah pergi mendahului kita...Amin

Thursday, October 14, 2010

Bosankah Belajar?

SPM akan tiba 39 hari lagi. Hari2 penting mendatang menandakan, masa untuk bersedia sudah tinggal sedikit cuma. Begitu juga peluang menjadi pelajar sekolah menengah hampir habis. Bagi sesetengah pelajar, mereka telah selamat berhenti(dibuang) sekolah walaupun SPM belum pun dilalui.

Masih cikgu ingat satu ketika di masa muda. Masa begini begitu mencemaskan. Buka satu buku rujukan, terpandang pula rakan yang membuka buku lain. Apa tah lagi kalau melihat rakan2 lain membaca juga, tetapi di bahagian yang belum cikgu baca atau ulangkaji. Seram oooo! Rasanya, macam kita seorang sahaja yg belum sedia. Sedangkan orang lain dah mengulang mengkaji buat kali ke berapa entahnya.

Lihat anak2 PMR, terasa cemburu. Mereka sudah pun selesai berjuang. Cikgu2 PMR pun sedang bertenang2. Tapi cikgu SPM macam tak cukup nyawa berperang. Hairannya, banyak orang rileks aje, walau belum ada apa2. Baru cuba selesai jawab 2 soalan, dah seperti orang mencangkul tanah se relong. Tidor seperti orang yang belum pernah tidor sepanjang hayat. Apa nak jadi!

Janganlah begitu anak2.... Harapan cikgu, 39 hari ini digunakan sebaiknya. Selagi ada cikgu yang hendak mengajar, pergilah ke sekolah tanpa gagal. Jumpa cikgu, tanya soalan, leraikan segala kebuntuan. Ajak rakan2 yang baik untuk belajar sama. Bukan senang nak berkumpul ramai2 di satu tempat seperti sekolah. Nantilah....bila tiada peluang bersekolah....baru tahu apa perasaannya. Mudah2an anak2 tidak kan menyesal melepaskan peluang baik ini.

Kuatkan semangat, kuatkan hati! Selamat Berjuang!

Sunday, August 22, 2010

Amalan untuk Mengingat dgn Mudah

Sudah lebih sebulan, seorang sahabat cikgu memberi pinjam 3 buah VCD Ceramah Ustaz Kazim. Cikgu tak luangkan masa untuk mendengarnya...hampir2 lupa sehinggalah dia bertanya. Sibuk cikgu mencari..di mana VCD tu ya? Alhamdulillah..akhirnya bertemu juga. Namun cikgu gagal juga untuk mendengar.

Sehinggalah pada suatu ketika, apabila seorang rakan facebook 'share' suatu 'link' ke ceramah Ustaz Kazim. Sehingga hari ini cikgu tak jemu2 mendengarnya juga. Di sini cikgu sertakan salah satu bahagian ceramah beliau.



Janganlah risau dengan tajuk ceramah ini. Dengarlah sehingga habis. Untuk anak2 dan pelajar2, ada petua2 untuk mengingat sepertimana yang diajarkan oleh alim ulama pewaris nabi. Subhanallah, rupa2nya belajar dengan menulis itu adalah perintah Allah melalui surah al 'Alaq.

Cikgu bersyukur dapat mengenali siri ceramah Ustaz Kazim. Semoga ALlah pelihara ilmunya. Cikgu seru semua kenalan cikgu untuk mendengar ceramahnya juga. Gunakanlah telinga yang Allah beri untuk jalan Allah. Dengarilah perkara2 baik yang akan membawa kita kepada keredhaanNya.

Monday, July 5, 2010

Alkisah bermulalah hidupnya di sana....











Masa terlalu pantas berlalu. Hari ini merupakan hari ke 3 Farhah memulakan hidupnya di USM. Selama dua bulan bercuti setelah tamat matriks, segala teka teki tentang ke mana arahnya dia selepas ini terjawab dengan satu chat di FB, "accept". Maca tu lah cikgu tahu Farhah menerima tawaran ke USM bulan lalu.

Jumaat 2 Julai cikgu, suami, Farhah dan Syaffaa bertolak keluar dari rumah dalam lebih kurang jam 3 petang. Dalam hujan lebat, kami bertolak meninggalkan JB. Tinggallah Fauzan dan Syamil di rumah. Tak muat kereta nak bawak semua. Farhah pun...baaaanyak nya barang yang dibawa!

Perjalanan begitu perlahan disebabkan hujan terlalu lebat. Sampai ke KL lebih kurang jam 7 malam setelah berhenti beberapa kali di hentian sebelah dan R&R. Orang tua bawa kereta, banyak kerenahnya. Malangnya, cikgu tersalah masuk simpang, sungguh lah jauhnya nak menyampaikan ke R&R Jejantas Sg Buloh. Hampir isya... badan letih, mata pun mengantuk. Kami tidor di rumah Mak Ncah di Sg Buloh. Alhamdulillah, baru malam itu cikgu sedar, rupa2nya pendaftaran Farhah bermula jam 2.30 petang 3 Julai.

Dalam jam 4.30 pagi keesokan harinya, kami bertolah ke Penang. Jalan pelan2 dan santai. Berhenti di Tapah selepas beberapa kali berhenti di hentian sebelah. Sarapan pagi dan menunaikan solat Dhuha di R@R Sg Perak. Cantik jugak tempat tu. Dah lama tak pergi utara.



Kami tiba di Penang jam 11 pagi. Ramainya manusia. Oleh kerana masih awal, kami ke Tesco. Ada2 saja yang nak dibeli dek Farhah, serba tak cukup, walaupun kereta dah penuh. Makan tengahari di Tesco dan kemudian ke Masjid USM menunaikan solat jama' di sana.

Seusai solat kami ke Dewan peperiksaan, tempat pendaftaran. Sementara Farhah mendaftar, cikgu dengar taklimat daripada Penggawa Desa Siswa Restu. Alhamdulillah, nama pun Restu, mudah2an kehidupan di sana memang di restui ibu bapa dan diredhai Allah. Itu yg paling penting. Anak2 menjalani kehidupan yang di redhai Allah.

Barang2 diangkut menggunakan lori. Kereta ibu bapa ditinggalkan di kawasan parking di sebelah dewan. Semua ibu bapa dan anak2 menaiki bas yang USM sediakan. Seronok jugaklah suasananya. Macam bergerak di Mina dan Mekah. Sibuknya manusia dengan barang. Takut hilang gamaknya.

Alhamdulillah, Farhah dapat bilik hujung sekali. Berkongsi dgn rakan sekuliah, gadis dari Trengganu. Zakiah namanya. Hati cikgu pun rasa senang, anak cikgu dapat teman yang kelihatannya baik2 sahaja.

Dari bilik Farhah, dapat dilihat pemandangan dari atas bukit. Nampaklah beberapa pangsapuri tinggi2. Kemudahan semuanya cukup. Ada wifi, mesin auto pencetak gambar dari phone, cafetaria, mesin minuman air sunquick dsb. Utk 4 bilik penginapan, ada 2 bilik mandi dan dua tandas. Semuanya utk dikongsi bersama hanya 8 orang siswi. Oh lumayan tu, jauhlah dibandingkan dengan zaman cikgu belajar di U dulu.

Selapas mengemas serba sedikit barang Farhah, cikgu bergegas pulang. Janji dengan Dr Afidah(Timb Dekan Fakulti Kimia) nak jumpa di depan dewan. Alhamdulillah, sempat bersembang beberapa ayat, pesan memesan minta dia tengok2kan anak dara cikgu. Syukur sangat kepada Allah.Mudah2an inilah tempat terbaik untukmu anakku. Lega hati cikgu, semester 1 pengajian Ijazah Sarjana Muda Kimia pun bermula untuknya. Belajarlah bersungguh2, semoga bantuan Allah sentiasa menyertai kehidupanmu anakku.

Wednesday, June 16, 2010

Ikan Kaloi, Bawang Putih dan Bawang Merah



Cikgu agak hampir semua orang Melayu tahu cerita tentang Si Bawang Putih dan Si Bawang Merah. Ibu Bawang Merah ditolak masuk ke dalam kolam oleh madunya, lalu berubah menjadi ikan kaloi. Hari2 Bawang Merah beri ikan kaloi makan. Satu hari ibu Bawang Putih telah menangkap ikan Kaloi tersebut, digorengnya dan diberi Bawang Merah makan. Mmmmm....goreng pun sodap!

Ayah cikgu ada berikan cikgu 2 ekor ikan kaloi. Adalah sebesar piring kuih saiznya. Bela punya bela...jadilah saiznya sebesar pinggan. Beberapa minggu lalu, seekor ikan tu 'meninggal'. Lat seminggu kemudian seekor lagi 'meninggal' juga. Innalillahi....
Keduanya dimasukkan ke dalam peti sejuk. Agak2lah bila hari tak ada lauk, boleh lah digoreng...mmm sodap jugak tu.

Hari ini, memang benar2 berlaku. Dua ekor kaloi dikorbankan. Sampai hati tak? Sampai. Syamil tukang sembelih, Fauzan tukang masak. Ummi, ayah, kakak dan adik sekali jadi tukang makan. Subhanallah, sedap beb! Masak Sweet Sour. Kalah masakan kedai tomyam tu!

Terima kasih Syamil dan Fauzan. Sesungguhnya Ummi bangga dapat dua anak lelaki tukang masak profesional. Gerenti sok, kalau kawin, isteri kamu tak kebuluran...Mmuah! I love you!

Ehem...dalam akuarium ada sekor lagi, tapi ikan 'Majlis'. Yang tu tak sanggup makan eh! Sekor lagi kura-kura, seram kura2 tu kalau dia tahu Kaloi dah kena makan. Agak terpikir tak dia akan nasibnya kalau dia 'meninggal' nanti? Isyk!

About Me

My photo
I'm a chemistry & math teacher at SMK Sdary, Jb. A mother to 2 sweet daughters and 2 sons. They make my life colourful.